SUSPEK tokan dadah wanita berusia 46 tahun dan lelaki, 40. ditahan bersama dadah heroin dalam serbuan polis di Kampung Bukit Malut, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK tokan dadah wanita berusia 46 tahun dan lelaki, 40. ditahan bersama dadah heroin dalam serbuan polis di Kampung Bukit Malut, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


TINDAKAN nekad wanita tokan dadah berusia 46 tahun, mencampakkan beg bimbit ke laut selepas menyedari rumahnya diserbu polis, gagal apabila dia ditahan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Langkawi di sebuah rumah di Kampung Bukit Malut di Langkawi, pada 5 pagi.

Katanya, ketika serbuan suspek berada di dalam rumah, namun bertindak melarikan diri ke bahagian pintu belakang untuk meloloskan diri sambil mencampakkan beg bimbit ke laut.

“Bagaimanapun, anggota polis berjaya mengesan beg bimbit yang dicampakkan suspek itu sebelum menemui satu beg kecil berzip ketika melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut polis menemui lima paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 22.50 gram (g),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Iqbal berkata, dalam serbuan berasingan di kawasan berhampiran kira-kira setengah jam kemudian, polis turut menahan seorang lelaki tokan dadah bersama dadah heroin seberat 18.66 g.

“Semakan mendapati suspek bagi kes pertama dan kedua masing-masing memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, selain ujian awal urin mendapati mereka positif morfin.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 11:54 AM