Siraj Mohd Zaini


PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) membuat ketetapan tidak akan melayan sebarang gerakan menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang.

Beliau berkata, majlis itu tetap dengan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga proses peralihan kuasa berlangsung dalam keadaan aman dan selamat.

“Kami bincang semalam tetapi tidak dengar dakwaan (Presiden PAS Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) hari ini.

“Yang pasti kami kekal dengan pendirian tidak melayan sebarang gerakan menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang,” katanya.

Anwar ketika berucap pada Konvensyen Reformis 2019 di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Anwar ketika berucap pada Konvensyen Reformis 2019 di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucap tama pada Konvensyen Reformis 2019 yang dianjurkan Otai Reformis’98 di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Otai Reformis’98, Dr Idris Ahmad.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan Abdul Hadi ketika berceramah di Shah Alam malam tadi mendakwa ‘seorang’ pemimpin dalam kerajaan merestui gerakan untuk menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang sekali gus menghalang langkah mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8.

Abdul Hadi dipetik sebagai berkata, PAS dan UMNO ditawarkan untuk membentuk kerajaan menerusi pintu belakang tetapi menolaknya kerana mahu merampas Putrajaya menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu Anwar berkata, beliau tidak berhasrat menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet Dr Mahathir sehingga proses peralihan kuasa beliau menjadi Perdana Menteri kelapan berlaku.

“Saya tidak bercadang (menjadi menteri) sehingga berlaku proses peralihan kuasa,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendedahkan yang Dr Mahathir di dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Presiden PH semalam mengarahkan semua parti meningkatkan prestasi serta komitmen membela rakyat susulan kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Perdana Menteri mengarahkan semua parti dalam PH melakukan perubahan, melaksanakan program rakyat, turun ke bawah, mengelak melakukan penyelewengan dan tidak bersikap angkuh kepada rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 2:42 PM