KHAIRY menafikan menghantar surat pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat. FOTO FB Khairy Jamaluddin
KHAIRY menafikan menghantar surat pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat. FOTO FB Khairy Jamaluddin
Hairulazim Mahmud


“TINDAKAN pihak yang menyamar menggunakan nama saya adalah sangat tidak bertanggungjawab,” tegas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Beliau menafikan menghantar surat pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawa seterusnya membincangkan usul berkaitan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

Gambar surat berkenaan tular hari ini yang menunjukkan kepala surat tertera nama Ahli Parlimen Rembau.

Menjadi persoalan ialah surat itu sudah dicop bertarikh 21 November 2019 diterima dipercayai milik pejabat Dewan Rakyat.

Beliau turut memaparkan kepala surat sebenar miliknya yang digunakan untuk urusan rasmi sebagai Ahli Parlimen Rembau berbeza dengan yang ditularkan.

“Saya menafikan menghantar apa-apa pemberitahuan atau surat kepada pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bagi membawakan usul seperti dalam gambar yang disebarkan,” katanya menerusi laman Facebook peribadinya hari ini.

Khairy menegaskan, tindakan pihak yang menyamar menggunakan namanya itu adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Katanya, ia juga adalah suatu fitnah yang boleh menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Rembau dan Barisan Nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 3:02 PM