TARIK upih antara permainan klasik yang ditampilkan.
TARIK upih antara permainan klasik yang ditampilkan.
Suliati Asri


BAGI mengembalikan nostalgia kampung dengan aktiviti desa yang kini bagai hilang ditelan arus permodenan, Program Nostalgia Anak Kampung anjuran Muzium Negara kembali mewarnai acara cuti sekolah.

Dianjurkan buat kali ke-4, Nostalgia Anak Kampung yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 23, 24 dan 30 November serta 1 Disember menjanjikan pelbagai aktiviti menarik khusus buat kanak-kanak disamping mengimbau kenangan zaman dahulu.

Kurator Muzium Negara merangkap Pengarah Program, Intan Masayu Abdullah, berkata program berkenaan diadakan bertujuan memperkenalkan kembali aktiviti kampung bagi memupuk nilai budaya, identiti dan jati diri terutama kepada generasi muda agar tidak pupus.

Katanya, program itu juga diadakan bagi memberi peluang kepada warga kota khususnya kanak-kanak yang membesar di bandar merasai sendiri aktiviti yang cukup menyeronokkan dan semakin dilupakan.

“Muzium Negara adalah institusi pendidikan tidak formal terutama dalam perkembangan ilmu, jadi kita mengambil inisiatif mengadakan program ini bagi mengimbau kembali kehidupan di kampung supaya masyarakat kota boleh menghayati kehidupan kampung zaman dulu,” katanya.

INTAN Masayu Abdullah.
INTAN Masayu Abdullah.

Sepanjang dua minggu iaitu setiap Sabtu dan Ahad, pelbagai aktiviti menarik yang menanti pengunjung termasuk permainan tradisional seperti tarik upeh, baling selipar, tuju tin, galah panjang, sepak raga dan banyak lagi.

Aktiviti kebudayaan seperti pertunjukan muzik klasik serta makanan tradisional seperti lempeng kelapa, aiskrim Malaysia, ais kepal dan ubi rebus juga turut dapat dirasai. Produk kraf seperti anyaman tikar, bedak sejuk serta demonstrasi masakan kampung sepanjang program turut berlangsung.

Sebagai pembukaan, esok jam 2 petang ada demonstrasi masakan sajian tradisional dari tukang masak terkemuka negara, Chef Ismail.

Terdapat juga pelbagai pertandingan sukaneka kampung bagi memeriahkan suasana.

Muzium Negara juga menganjurkan program Muzium Denai Malam (Muzium Night Trail) pada keempat-empat tarikh itu seraya mengujakan berkunjung ke muzium di waktu malam.

Pameran pada waktu malam juga menyediakan aktiviti menarik termasuk persembahan Orang Asli dan wayang kulit.

Kata Intan, pelbagai versi cerita menggambarkan keadaan muzium di waktu malam yang tersebar dalam kalangan masyarakat seperti muzium berhantu terutama di waktu malam.

“Program ini adalah salah satu inisiatif muzium untuk menggalakkan orang ramai berkunjung di waktu malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:45 AM