Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Fardy Bungga


TINDAKAN pantas wanita menjerit meminta pertolongan orang awam selepas diragut membawa kepada penahanan penjenayah terbabit.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, mangsa berusia 26 tahun bersama seorang lagi rakannya minum di sebuah restoran di Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, beg tangan mangsa tiba-tiba ditarik penjenayah sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik diragut mangsa dan rakannya terus mengejar suspek yang melarikan diri ke arah pusat beli belah Suria Sabah.

Katanya, mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan orang awam yang kebetulan berada di kawasan itu sebelum suspek berjaya ditahan.

“Suspek dihantar ke Balai Polis Kota Kinabalu oleh orang awam yang berjaya menangkapnya manakala mangsa turut membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Suspek dikenalpasti berusia 23 tahun dan berstatus pemegang pemastautin tetap berbangsa Filipina,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata, dalam kejadian itu, mangsa turut mengalami kecederaan calar di lutut dan paha kiri akibat terjatuh ketika cuba mengejar suspek.

“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 10:48 AM