Wanita yang disamun dalam sebuah bank sebelum keretanya dilarikan penjenayah. FOTO Ihsan PDRM
Wanita yang disamun dalam sebuah bank sebelum keretanya dilarikan penjenayah. FOTO Ihsan PDRM
Fardy Bungga


GURU tadika berusia 35 tahun dan anaknya berdepan detik cemas apabila disamun sebelum kenderaannya dilarikan penjenayah di Taipan Inanam, Kota Kinabalu hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa dikatakan bersama anak lelakinya berusia 10 tahun masuk ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang.

Bagaimanapun, ketika sedang menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank berkenaan, mangsa tiba-tiba didekati lelaki bertopi dan bersenjatakan parang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa yang belum sempat mengeluarkan wang terkejut apabila diugut dengan parang yang dibawa suspek.

Katanya, mangsa yang ketakutan kemudiannya menyerahkan beg tangannya yang berisi beberapa dokumen dan wang tunai RM50 kepada suspek.

“Suspek kemudian mengarahkannya menyerahkan kunci kereta sebelum penjenayah itu melarikan kenderaan jenis Hyundai Gets perak dengan nombor pendaftaran MAY6800.

“Mangsa dan anaknya hanya ketakutan akibat insiden itu namun tidak mengalami kecederaan,” katanya hari ini.

Habibi berkata, polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan kenderaan mangsa dan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 3:59 PM