GAMBAR hiasan. Arkib NSTP/.
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP/.
Idris Musa


KAJI selidik mendapati 4.8 juta wanita di negara ini tidak bekerja kerana pelbagai sebab termasuk tanggungjawab keluarga, kurang upaya dan bersara.

Malah menurut Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia, ketika wanita negara ini membentuk 60 peratus graduan universiti tempatan, kadar penyertaan tenaga kerja wanita kebangsaan hanya 55 peratus, iaitu lebih rendah dari negara Asean.

Untuk itu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, cabaran dihadapi wanita perlu dikurangkan untuk mengimbangi antara keluarga dan kerja, seperti fleksibiliti dalam aturan kerja.

“Selain itu menerusi ‘reskilling’ (latih semula) wanita yang telah meninggalkan alam pekerjaan sebagai persediaan untuk mereka kembali bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks dibacakan Ketua Setiausahanya Datuk Amir Omar yang mewakilinya melancarkan Program Hearts-CCP dan Majlis Sambutan Deepavali Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PSMB Elanjelian Venugopal.

Program Hearts-CCP (Skim Penambahbaikan dan Pengaktifan Semula Bakat - Career Comeback Programme) itu dibuka kepada semua wanita terutama mereka ingin bekerja semula selepas meninggalkan alam pekerjaan lebih enam bulan.

Ia adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun menerusi gerakan #WanitaKerja seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020 bulan lalu.

Bagi program Hearts sebelum ini menurut Kulasegaran, daripada 1,366 pelatih, seramai 1,309 atau 96 peratus berjaya menamatkan latihan dan 75 peratus daripada mereka aktif memberikan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara antara enam bulan selepas menamatkan latihan.

“Jadi, saya berharap lebih ramai wanita dapat diberikan latihan melalui program ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 3:26 PM