MANGSA dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut. FOTO Ihsan Bomba
Siti Nor Hidayatidayu Razali


LELAKI patah pinggang selepas terjatuh pokok duku setinggi tujuh meter di RPT Sungai Peria, dekat Kuala Krai, malam tadi.

Mangsa, Mohd Zudden Zahari, 39, ditemui orang kampung pada 10.30 malam.

Penduduk kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Razani Mamat berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, seramai lapan anggota ke lokasi kejadian di kebun di kawasan bukit.

“Sebaik sampai, kita dapati seorang lelaki jatuh dari pokok dan patah pinggang menyebabkan dia tidak dapat berjalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya dibantu APM membantu mengeluarkan mangsa dari kawasan kebun itu dengan pacuan empat roda.

Lelaki itu kemudian diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke Hospital Kuala Krai bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa ke kebun duku itu seorang diri pada 5.30 petang.

Kebun itu terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan rumah penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 9:01 AM