M Kulasegaran (dua kiri) bersalaman dengan peserta Seminar LEAP. FOTO Muhaizan Yahya
M Kulasegaran (dua kiri) bersalaman dengan peserta Seminar LEAP. FOTO Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin


KERAJAAN mahu mengikis tanggapan umum terutama di kalangan majikan bahawa tiada keperluan menubuhkan kesatuan sekerja sedangkan ia penting dalam menjaga kebajikan pekerja.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, kerajaan akan membantu mana-mana golongan pekerja untuk aktif dalam menubuhkan kesatuan sekerja di tempat kerja masing-masing dan mahu majikan turut memainkan peranan ke arah itu.

“Kita mahu majikan memberi pandangan mereka, sebab ada tanggapan umum (di kalangan majikan) `kita tidak perlukan kesatuan sekerja’, `kesatuan sekerja hanya berfungsi untuk memprotes’ tetapi hakikat sebenar bukan begitu, jadi kita akan beri galakan tertentu (menubuhkan kesatuan sekerja).

“Kita jangan lupa, minggu lalu Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap Thailand kerana tidak memberi ruang kepada pekerja mereka menubuhkan kesatuan sekerja, jadi apa yang kita buat ini bukan baharu, setahun lalu kita sudah melakukannya.

“Jadi harap dapat meluaskan pandangan ini (berhubung peranan kesatuan sekerja) agar semua pekerja dan majikan dapat situasi menang-menang,” katanya selepas merasmikan Seminar `Labour Enrichment and Professionalism (LEAP’ di Ipoh, hari ini.

Kulasegaran berkata, sebelum ini 10 peratus daripada tenaga kerja di negara ini adalah ahli kesatuan sekerja tetapi sekarang ia sudah menurun antara enam hingga tujuh peratus sahaja.

Justeru, katanya, kerajaan mahu peratusan itu ditingkatkan semula dan mahu lebih banyak kesatuan sekerja yang aktif dalam membela kebajikan pekerja dan mewujudkan suasana harmoni dengan majikan.

Beliau berkata, menerusi penganjuran program LEAP yang turut dihadiri majikan, pekerja dan pemimpin kesatuan sekerja, diharap halangan antara pekerja serta majikan dapat dihapuskan dan mereka dapat duduk semeja berbincang berhubung hal ehwal pekerja dan pekerjaan.

“Banyak perundingan (boleh) diadakan seperti (nasib) pekerja tidak mahir, bagaimana mahu berunding, apakah hak mereka dan hak majikan, maka dengan perjumpaan menerusi LEAP ini akan beri satu inisiatif supaya pekerja lebih tahu hak mereka dan selepas itu akan menolong proses untuk meningkatkan produktiviti mereka, saya harap ini perkara mustahak yang perlu dibuat,” katanya.

Katanya, sehingga kini Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) sudah menganjurkan 10 program LEAP di seluruh negara dan beliau meminta JHEKS mengadakan sekurang-kurangnya 90 program lagi dan bukan hanya di ibu negeri tetapi di peringkat daerah.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan pada Selasa lalu sudah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal bagi membincangkan perkara berkaitan usaha meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Katanya, jawatankuasa itu yang akan mengadakan mesyuarat pertama pada 11 November ini dianggotai semua kesatuan sekerja termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Semenanjung, Sabah dan Sarawak; Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS); Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) serta semua pihak berkaitan.

“Perbincangan akan dibuat dan selepas mengambil kira semua pandangan, ia akan diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia dan kemudian akan dkemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan,” katanya.

Beliau berharap pindaan itu dapat memberi manfaat golongan pekerja dan majikan kerana banyak pindaan akan dilakukan bagi kebaikan kepada kedua-dua pihak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 3:19 PM