LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS sedang mengenal pasti suspek yang menyerang Pos Kawalan Sempadan Padang Besar 19 Op Wawasan Kedah/Perlis di Padang Besar menggunakan mercun roket, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya masih melakukan siasatan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, buat masa ini, polis tidak dapat mendedahkan suspek kerana ia masih dalam siasatan.

“Kita tidak boleh tuju (tuduh) dilakukan warga Thailand atau warga mana sekalipun.

“Apa yang pasti memang ada berlaku serangan menggunakan mercun roket di Pos PGA terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Sistem E-Pengambilan Polis Diraja Malaysia ( PDRM) di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan Pos Kawalan Sempadan Padang Besar 19 Op Wawasan Kedah/Perlis di Padang Besar diserang menggunakan mercun roket.

Dalam kejadian 11.20 pagi itu, sebanyak empat mercun roket dilepaskan dari arah pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Satu daripada mercun berkenaan kemudiannya meletup hingga memecahkan cermin tingkap pos kawalan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu basikal lajak, Mazlan berkata, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada ibu bapa yang cuai membenarkan anak mereka mengubahsuai basikal itu sehingga membahayakan nyawa.

“Kita masih lagi melaksanakan penguatkuasaan demi keselamatan pengguna jalan raya khususnya kepada kanak-kanak yang tidak memahami mengenai bahaya menaiki basikal lajak.

“Tindakan akan diambil tindakan kepada mereka yang terbabit di mana ada banyak kesalahan boleh disiasat termasuk ke atas ibu bapa mereka,” katanya.

Berita berkaitan

Mercun roket 'tembak' pos kawalan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 1:47 PM