TIGA lelaki warga Thailand yang ditahan anggota Batalion 2 Pasukan Gerakan Am PGA ketika cuba menyeludup 220 kilogram bawang di sempadan Padang Besar. FOTO ihsan PGA
TIGA lelaki warga Thailand yang ditahan anggota Batalion 2 Pasukan Gerakan Am PGA ketika cuba menyeludup 220 kilogram bawang di sempadan Padang Besar. FOTO ihsan PGA
Mohd Rizal Abdullah


HANYA menggunakan motosikal kapcai bagi menyeludup 220 kilogram (kg) bawang dari sempadan Malaysia ke Thailand.

Itu perbuatan tiga lelaki warga Thailand yang ditahan anggota Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika operasi Op Wawasan Kedah/Perlis di sempadan Padang Besar, jam 6.38 petang, Jumaat lalu.

Komander Briged Utara, PGA Hulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, tiga lelaki berusia antara 22 hingga 39 tahun itu ditahan ketika masing-masing menaiki motosikal kapcai sambil membawa antara tujuh dan lapan guni bawang setiap orang.

“Setiap individu membawa bawang putih, bawang merah dan bawang besar dengan berat keseluruhan 220 kg bernilai RM13,430

“Mereka dikesan cuba menyeludup bawang berkenaan menerusi laluan keluar masuk lori kontena Malaysia/Thailand, sebelum ditahan.

“Ketiga-tiga mereka dibawa ke Balai Polis Padang Besar dan semua barangan dan motosikal masing-masing dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:30 AM