Laporan Harian Metro melalui laporan khas mengenai segelintir usahawan sampah aktif menjalankan kegiatan mengimport skrap plastik walaupun premis sudah disita.
Laporan Harian Metro melalui laporan khas mengenai segelintir usahawan sampah aktif menjalankan kegiatan mengimport skrap plastik walaupun premis sudah disita.
Mohd Azam Shah Yaacob


TIGA daripada lima ahli Geng 24 termasuk seorang bergelar Datuk yang sebelum ini ditahan kerana mengugut dan melakukan jenayah kekerasan terhadap seorang aktivis alam sekitar dikenakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Ketiga-tiganya mereka itu bersama dua lagi lelaki ditahan pada 1 Julai lalu di Taman Sutera Damansara, Petaling Jaya dan di Taman Cheras Permai, Cheras dalam Op Simbah oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ia susulan tindakan suspek yang menyerang dan menyimbah cat kepada seorang aktivis alam sekitar dalam kejadian pada 26 Jun lalu di sebuah rumah di Sungai Jarom, Kuala Langat.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dua daripada mereka itu ditempatkan di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam di Johor, manakala seorang lagi di Pusat Pemulihan Khas Bentong, Pahang mengikut perintah tahanan selama dua tahun.

Menurutnya, dua lagi anggota kumpulan kongsi gelap berkenaan pula diletakkan di bawah perintah pengawasan mengikut akta yang sama selama dua tahun masing-masing di Jelutong, Pulau Pinang dan Renggam, Johor.

“Keputusan menahan tiga ahli Geng 24 itu termasuk dua di bawah Perintah Pengawasan mengikut POCA 1959 itu diputuskan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) pada 17 Oktober lalu.

“Sebelum ini, mereka ditahan kerana melakukan jenayah kekerasan serta ugutan terhadap seorang aktivis alam sekitar dan hasil siasatan mendapati mereka terbabit dalam kumpulan kongsi gelap Geng 24 sejak 2016,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan terhadap kesemua suspek didapati mereka turut terbabit dalam sembilan kesalahan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan serta kekerasan dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat.

Menurutnya, selain itu mereka turut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 KK kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 385 KK kerana peras ugut.

“Suspek pertama berusia 31 tahun merupakan orang dikehendaki polis dan mempunyai 12 kes jenayah lampau, suspek kedua pula berusia 20 tahun dan mempunyai tiga rekod dadah, manakala suspek ketiga berusia 22 tahun mempunyai 12 rekod jenayah dadah serta dikehendaki polis.

“Suspek keempat berusia 22 tahun mempunyai empat kes jenayah lampau dan suspek kelima berusia 33 tahun mempunyai dua rekod dadah,” katanya.

Harian Metro pada 26 Jun lalu melalui laporan khas mendedahkan segelintir usahawan sampah dikesan masih aktif menjalankan kegiatan mengimport skrap plastik walaupun premis mereka sudah disita.

Susulan pendedahan itu, rumah aktivis alam sekitar yang bekerjasama dengan wartawan disimbah cat oleh dua lelaki tidak dikenalinya sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Berita berkaitan

Empat suspek serang aktivis ditahan

Polis jejak penyerang

'Tiada ruang langsung'

Bukit Aman bagi amaran [METROTV]

Gengster dah kacau

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 6:13 PM