EMPAT suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok bagi mendapatkan perintah reman, semalam.
EMPAT suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok bagi mendapatkan perintah reman, semalam.
Nur Lela Zulkipli


EMPAT ahli Geng 24 direman empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini selepas dipercayai terbabit dalam kes simbah cat terhadap rumah aktivis alam sekitar di Sungai Jarom di sini, 26 Jun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Saifuddin Rafie di Mahkamah Majistret Telok Datok, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan khianat kepada mangsa.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Asisten Superintendan Ridzuan Abdullah.

Semua suspek yang tiba di mahkamah jam 9 pagi bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Kelmarin, Unit Pencegahan Gengsterism Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan suspek terbabit dalam serbuan di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, empat suspek yang ditahan berusia 20 hingga 31 tahun.

“Soal siasat mendapati tiga daripada suspek mengaku terbabit secara langsung dalam kes itu.

“Mereka mendakwa menerima upah daripada pihak tertentu untuk melakukan perbuatan itu dan semua suspek mengaku menganggotai Geng 24,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas kenderaan dipercayai digunakan ketika serangan, pedang samurai, sepeket syabu dan telefon bimbit.

Katanya, setiap suspek ada rekod kesalahan lampau antara satu hingga 10 kes termasuk kes jenayah, dadah selain tersenarai sebagai orang dikehendaki.

Bermula 26 Jun lalu, Harian Metro melalui laporan khas mendedahkan segelintir usahawan sampah dikesan masih aktif menjalankan kegiatan mengimport skrap plastik biarpun premis mereka disita.

Susulan pendedahan itu, rumah aktivis alam sekitar yang bekerjasama dengan wartawan disimbah cat dua lelaki tidak dikenali sebelum tampil membuat laporan di IPD Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 4:30 AM