Siraj Mohd Zaini


TEMPOH reman empat ahli Geng 24 yang dipercayai terbabit dalam kes simbah cat ke atas rumah aktivis alam sekitar di Sungai Jarom, Kuala Langat, tamat semalam.

Bagaimanapun, semua ahli geng kongsi gelap berkenaan tidak dibebaskan namun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, mereka akan disiasat kerana dipercayai terbabit dengan beberapa kes jenayah di sekitar ibu negara.

“Mereka sebelum ini direman sehingga Jumaat, namun polis memohon lanjutan reman sehingga Rabu (semalam).

“Namun, semua belum dibebaskan dan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut berkaitan kes jenayah,” katanya kepada Harian Metro.

Azizan berkata, semua suspek akan dituduh di Mahkamah Telok Datuk dalam masa terdekat sebaik saja siasatan di IPK Kuala Lumpur selesai.

Pada 1 Julai lalu, semua suspek berusia 20 hingga 31 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, soal siasat mendapati tiga daripada semua suspek mengaku terbabit secara langsung dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, setiap suspek ada rekod kesalahan lampau antara satu hingga 10 kes termasuk kes jenayah, dadah selain tersenarai sebagai orang dikehendaki.

Bermula 26 Jun lalu, Harian Metro melalui laporan khas mendedahkan segelintir usahawan sampah dikesan masih aktif menjalankan kegiatan mengimport skrap plastik biarpun premis mereka sudah disita.

Susulan pendedahan itu, rumah aktivis alam sekitar yang bekerjasama dengan wartawan disimbah cat oleh dua lelaki tidak dikenalinya sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Berita berkaitan

Tiga mengaku buat jahat

Empat ahli Geng 24 direman [METROTV]

RM2,000 upah jadi samseng

Empat suspek serang aktivis ditahan

Polis jejak penyerang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 12:58 PM