ANGGOTA APM  membersihkan kawasan awam dan menebang pokok tumbang akibat ribut. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM membersihkan kawasan awam dan menebang pokok tumbang akibat ribut. FOTO ihsan APM
Izlaily Nurul Ain Hussein


RIBUT yang melanda beberapa kawasan di daerah Batu Pahat, hari ini menyebabkan lebih 100 pokok tumbang dan menjejaskan rumah penduduk.

Sekretariat Bencana Daerah Batu Pahat dalam satu kenyataan berkata, kejadian ribut sehingga menumbangkan pokok berlaku sejak 3.20 petang tadi.

Katanya, antara kawasan yang terjejas adalah Bagan, Simpang Lima, Sungai Ayam, Peserai dan Jalan Tanjung Labuh.

“Hujan serta angin kencang berlaku pada 3.20 petang mengakibatkan pokok tumbang serta beberapa rumah di kawasan sekitar terjejas.

“Jumlah rumah yang terjejas masih dalam penilaian, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta kakitangan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) membersihkan kawasan awam dan menebang pokok yang tumbang serta menghalang laluan.

“Rondaan dan pemantauan juga dilakukan agensi berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:21 PM