Hasbi Sidek


MAHU mengelak didenda kerana hilang kad pengenalan, seorang wanita sanggup membuat laporan palsu mendakwa dia disamun di Seremban, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, wanita berusia 48 tahun itu membuat laporan berkenaan di sebuah balai polis pada 1.16 tengah hari.

Katanya, dia mendakwa disamun di hadapan sebuah bank di Seremban 2 yang menyebabkan dokumen pengenalan dirinya hilang pada 6.15 pagi.

“Anggota kemudian melakukan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil keterangannya.

“Namun, siasatan mendapati keterangannya meragukan dan akhirnya mengesahkan dia sengaja membuat laporan palsu untuk mendapatkan salinan bagi menggantikan kad pengenalan yang hilang.

“Ia untuk mengelak didenda ketika membuat dokumen gantian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan itu, Mohd Said berkata, wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana sengaja membuat laporan palsu.

Katanya, sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau turut memberi amaran kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu kerana ia satu jenayah.

“Malah ia juga menyusahkan pihak polis yang menyiasat perkara tidak benar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:55 PM