TERTUDUH mengaku tidak bersalah merogol pelajar sekolah berusia 15 tahun yang dikenali melalui WhatsApp di Mahkamah Sesyen Ampang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
TERTUDUH mengaku tidak bersalah merogol pelajar sekolah berusia 15 tahun yang dikenali melalui WhatsApp di Mahkamah Sesyen Ampang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sarah Zulkifli


PENGHANTAR makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini, atas dua pertuduhan merogol seorang pelajar sekolah menengah yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada April dan Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Arief Samsudin ,22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Memanda, Ampang Point, 3.40 petang 14 April lalu.

Mengikut pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa merogol mangsa sama di sebuah bilik hotel di Ampang Waterfront, 2.30 petang 12 Mei lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

“Mangsa adalah pelajar bawah umur dan kesalahan ini tidak boleh dijamin,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Muhammad Faris Abrar Othman memohon supaya jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga selain pendapatan hanya RM1,000 hingga RM2,000 sebulan sebagai penghantar makanan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Norhazani menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 2:44 PM