Sarah Zulkifli


KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas pertuduhan meninggalkan negara ini secara haram, Mei lalu.

Jamal, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, Jamal yang didakwa tanpa sebab munasabah meninggalkan Malaysia tanpa melalui laluan dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, Ampang pada 25 Mei lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen (A150) pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene manakala Jamal diwakili peguam Datuk Mohd Imran Tamrin.

Pada 25 Mei lalu, Jamal menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital KPJ Ampang Puteri atas beberapa pertuduhan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, tahun lalu.

Kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau pada 5.30 petang.

Bagaimanapun, Jamal ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada 6.15 petang (waktu tempatan) pada 2 Julai lalu di Tebet, Jakarta Selatan selepas menjadi buruan lebih sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 1:30 PM
JAMAL (tengah) diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini bagi menghadapi pertuduhan meninggalkan negara ini secara haram, Mei lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
JAMAL (tengah) diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini bagi menghadapi pertuduhan meninggalkan negara ini secara haram, Mei lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.