Shazmi (empat kanan) bersama masyarakat Orang Asli menunjukkan laporan polis sebelum menyerahkan sebahagian wang kepada SPRM. FOTO Abdullah Yusof
Shazmi (empat kanan) bersama masyarakat Orang Asli menunjukkan laporan polis sebelum menyerahkan sebahagian wang kepada SPRM. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


PENDUDUK Orang Asli dari Kampung Lawai, Jalong Tinggi dekat Sungai Siput, menyerahkan sebahagian daripada RM40,000 wang ‘sagu hati’ yang didakwa diberikan sebuah syarikat konsesi balak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Wang RM15,000 itu diserahkan 10 daripada 30 keluarga di kampung berkenaan bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan kerana ia dipercayai sebagai pendahuluan jika kerja pembalakan tidak dihentikan kerajaan negeri.

Pegawai lapangan Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) Shazmi Rashid yang hadir membuat laporan bersama masyarakat Orang Asli berkenaan berkata, laporan polis juga sudah dibuat wakil penduduk, Mat Seri Pandak di Balai Polis Jalong, Isnin lalu.

“Saya dimaklumkan pada 3 Oktober lalu, dua penduduk Kampung Lawai memanggil semua penduduk kampung untuk bermesyuarat di Dewan Adat tanpa diberitahu sebab mesyuarat.

“Pada mesyuarat itu, dua penduduk memberitahu mereka bersama dengan Tok Batin kampung itu sudah mengadakan pertemuan dengan Pegawai Perhutanan dan ‘tauke’ balak di Pejabat Hutan Daerah Sungai Siput dan seorang daripada mereka memberitahu RM80,000 akan diberikan kepada penduduk oleh syarikat konsesi untuk satu blok balak.

“Buat masa sekarang RM40,000 diberikan terlebih dulu sebagai sagu hati,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi wakil masyarakat Orang Asli Kampung Lawai membuat laporan di pejabat SPRM Perak di Ipoh hari ini.

Sementara itu, Mat Seri yang turut hadir membuat laporan berkata, wang berkenaan diedarkan kepada setiap ahli keluarga dengan jumlah paling tinggi bagi individu dewasa adalah RM470 manakala jumlah paling sedikit RM50 yang diterima setiap kanak-kanak.

Sambil menyifatkan pemberian wang itu tidak kena, dia bersama beberapa penduduk lain nekad memulangkan semula wang itu kepada pihak berkuasa supaya siasatan dijalankan.

Katanya, aktiviti pembalakan sudah berlangsung di kampung itu sejak Julai lalu dan penduduk kampung juga sudah menyuarakan bantahan kepada pejabat Menteri Besar Perak 25 September lalu dan meminta campur tangan dalam isu berkenaan melalui surat dihantar hari ini.

“Kami bersetuju dan bersepakat untuk mengembalikan wang sagu hati yang diterima kepada SPRM bagi membolehkan agensi itu menjalankan siasatan terhadap pemberian wang kepada penduduk kampung.

“Sebelum ini kami menerima wang yang diberikan kerana tidak mahu menjatuhkan air muka pemberi dan tidak mahu ia jadi kecoh, pencerobohan kawasan balak sudah berlaku sejak dua bulan lalu.

“Kami buat bantahan untuk kepentingan masyarakat Orang Asli di Jalong Tinggi, kami takut kesan bencana alam akibat pembalakan yang boleh membawa tanah runtuh, pencemaran sungai Korbu dan bencana lain,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamad Zin Yusop ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan menyiasat terlebih dulu dakwaan berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Buat masa ini saya tiada maklumat mengenai perkara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 4:53 PM