Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Fardy Bungga


ENAM individu termasuk dua warga asing ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti penyeludupan tujuh migran termasuk dua kanak-kanak dari negara jiran di Jalan Luagan Sanginan, Beaufort semalam.

Semua individu itu ditahan pada 1.45 tengah hari oleh sepasukan anggota yang bertindak atas maklumat berhubung kegiatan penyeludupan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, enam suspek yang ditahan dikesan cuba menyeludup tujuh warga Indonesia dipercayai untuk bekerja di sebuah ladang di daerah Keningau.

Katanya, ketika ditahan, semua individu itu menaiki Proton Exora dan Isuzu D-Max dipercayai dalam perjalanan ke Keningau.

“Proton Exora dinaiki dua suspek bersama tujuh migran terdiri tiga lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak perempuan berusia enam hingga 50 tahun dipercayai diseludup masuk untuk bekerja di negara ini.

“Kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk membawa barang termasuk pakaian milik tujuh migran terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmir berkata, dua warga asing yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penunjuk jalan kepada pemandu kenderaan untuk ke lokasi bagi mengambil kumpulan migran terbabit.

Katanya, semua tangkapan bersama dua kenderaan yang dirampas dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(J) Akta Anti-Pemerdagangan Orang & AntiPenyeludupan Migran 2007.

“Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 8:56 PM