AHLI Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh (lima kanan) bersama  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy (enam kanan) menyerahkan tong sampah 120 liter secara percuma kepada penduduk di Kampung Simee menerusi program perintis penyerahan tong sampah dengan kerjasama Majlis Daerah Ipoh (MBI) bagi menangani isu longgokan sampah haram. FOTO Muhaizan Yahya

Balqis Jazimah Zahari

SEBANYAK RM100,000 diperuntukkan bagi mengagihkan tong sampah kepada lebih 750 penduduk di Kampung Simee, di Ipoh, bagi menangani pembuangan sampah haram di kawasan Parlimen Ipoh Timur.

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh berkata, dana yang disalurkan daripada Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning itu dijayakan menerusi program perintis penyerahan tong sampah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Bukan semua rumah mempunyai tong sampah, jadi melalui program ini, setiap rumah akan diberikan satu tong sampah 120 liter secara percuma dan tong sampah akan dilabelkan nombor rumah bagi mengelakkan ianya dicuri.

“Bagi tong sampah bersaiz 240 liter yang lebih besar ia akan diberi dan diagihkan kepada 100 kedai yang berada di kawasan ini,” katanya pada sidang media berkenaan program perintis penyerahan tong sampah itu di Jalan Pasar, Kampung Simee, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy.

Kah Woh berkata, semua tong sampah berkenaan akan diserahkan pada 13 Oktober ini pada satu majlis di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack, di sini.

“Program ini tidak terhenti di sini dan akan dibuat secara berterusan di kawasan yang lain di sekitar bandar raya Ipoh.

“Selain itu, beberapa pertemuan diadakan bersama Datuk Bandar dan pegawai MBI bagi membincangkan isu membabitkan longgokan sampah haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 1:50 PM