Nurul Izzah (kanan), Leong (kiri atas) dan Noraini yang baru dilantik menganggotai PAC.
Nurul Izzah (kanan), Leong (kiri atas) dan Noraini yang baru dilantik menganggotai PAC.
BERNAMA

AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar adalah antara tiga Ahli Parlimen baru dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu menggantikan tempat Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), menurut Penyata Khas Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat ke-14 yang diedar kepada ahli Dewan Rakyat, hari ini.

Dua lagi ahli baharu ialah William Leong (PH-Selayang) menggantikan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) dan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) menggantikan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin).

PAC dengan 12 anggota, ketika ini dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran), manakala naib pengerusinya Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur).

Anggota PAC yang lain ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Datuk Robert Lawson Chuan (GPS-Betong), Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) Wong Chen (PH-Subang), Steven Chong Shiau Yoon (PH-Tebrau), Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), dan Wong Shu Qi (PH-Kluang).

Sementara itu, Ronald ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen berkata ia hanya membabitkan pertukaran individu dalam parti yang sama.

“Selagi mana ia diputuskan Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat, ia dianggap sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 8:37 PM