SULAIMAN Mohamad menunjukkan telefon bimbit mengandungi gambar arwah Mohd Sukhairi ketika ditemui di rumahnya di FELDA Kemelah, Segamat. FOTO Ahmad Ismail.
SULAIMAN Mohamad menunjukkan telefon bimbit mengandungi gambar arwah Mohd Sukhairi ketika ditemui di rumahnya di FELDA Kemelah, Segamat. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


PEMANDU rentung apabila lori simen dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori simen lain di Kilometer 135, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran Chaah, Labis, kira-kira jam 5.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lori menghala arah sama dari Labis ke Johor Bahru sebelum lori dipandu mangsa melanggar belakang lori di hadapan menyebabkan kebakaran.

“Berikutan kemalangan itu, mangsa gagal menyelamatkan diri dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkusaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di talian 07-9325811,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Sharfini Nasar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 pagi dan sepasukan lapan anggota serta satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya percaya lori simen dipandu mangsa, Mohd Sukhairi Sulaiman, 35, dikatakan merempuh belakang lori simen dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun.

“Akibatnya lori simen dipandu mangsa terbakar dan mangsa tidak sempat keluar kerana tersepit di tempat duduk pemandu. Bomba yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke tempat kejadian.

“Bagaimanapun, apabila tiba, api terlalu marak dan bomba terpaksa memadamkan kebakaran terlebih dahulu. Kerja pemadaman mengambil masa 20 minit dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, seorang lagi pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Lori yang dirempuh juga tidak mengalami kebakaran. Operasi ditamatkan pada jam 8.20 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:27 PM