Khairul Najib Asarulah Khan

“TERPULANG pada ahli keluarga arwah suami yang mahu inkues dijalankan terhadap kematiannya. Saya reda dan menerima keputusan Lembaga Siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan hati terbuka,” kata balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir, Nour Shafinar Harun.

Nour Shafinar, 31, berkata, dia memahami tugas sebagai tentera berikutan pernah berkhidmat dengan badan itu sebagai polis tentera selama 12 tahun sejak 2007.

“Saya tahu bahagian undang-undang dan memahami ia kemalangan dalam latihan ditambah pula kejadian berlaku secara terbuka.

“Menggunakan peluru hidup adalah perkara biasa bagi pegawai dan anggota tentera apatah lagi jika komando,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bank Muamalat Malaysia Berhad bernilai RM15,000 kepada Nour Shafinar di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Hadir sama, Panglima Divisyen Ke-4 Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Ridzuan Baharuddin dan Panglima 21 Gerup Khas Mejer Jeneral Datuk Hasan Ali.

Mengulas lanjut, Nour Shafinar berkata, dia tidak menghalang tindakan bapa mentuanya itu.

“Itu hak dia dan keluarga, cuma saya tidak terbabit dalam inkues berkenaan.

“Saya juga mengenali rakan arwah yang tertembak dia (suami). Rakannya itu juga sudah berjumpa dengan saya dan anak-anak serta menjelaskan tragedi itu,” katanya.

Pada Khamis lalu, TDM dalam satu kenyataan mengklasifikasikan kejadian itu sebagai terpencil dan ia kemalangan dalam latihan.

Berhubung kenyataan itu, Seniman Armaya Aman Ramlie, 70, atau mesra dengan panggilan Ar Badul mahu satu inkues dijalankan terhadap kematian anaknya, Mejar Mohd Zahir Armaya bagi mengetahui punca sebenar kematian pegawai komando itu.

Dia menyifatkan penjelasan diberikan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung siasatan kematian anaknya terlalu ringkas dan tidak menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 12:50 PM
KETUA Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada kepada Nour Shafinar Harun, balu kepada Mejar, Mohd Zahir Armaya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bank Muamalat Malaysia Berhad ke Atas Balu Allahyarham Mejar Zahir Armaya di Kem Wardieburn, turut hadir Pangliman Divisyen Ke-4 Infantri, Mejar Jeneral Datuk, Ridzuan Baharuddin (dkanan). FOTO Wadi Alias