LUTH Irfan tekun mengukir tanah liat.
LUTH Irfan tekun mengukir tanah liat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


LUTH Irfan Irwan, 9, menghidap disleksia namun dia memiliki bakat seni cukup tinggi yang mampu membentuk pelbagai karakter kartun menggunakan tanah liat mainan.

Sehingga kini, Luth Irfan sudah menghasilkan hampir 100 karakter kartun dengan hanya berguru melalui YouTube dan permainan video.

Daya imaginasi dan kreativitinya mengalahkan kanak-kanak seusia atau mereka yang lebih dewasa daripadanya.

Ibunya, Suriyanita Sidek, 39, berkata, anaknya mula menunjukkan kebolehan itu ketika berusia tiga tahun apabila menghasilkan objek ringkas seperti bulan dan bintang.

“Ketika usianya empat tahun, Luth Irfan menghasilkan replika kapal terbang menggunakan tanah liat mainan.

PERALATAN yang digunakan untuk menghasilkan kartun tanah liat.
PERALATAN yang digunakan untuk menghasilkan kartun tanah liat.

“Lama kelamaan, seni reka bentuk Luth Irfan semakin baik dan dia menghasilkan lebih banyak karakter kartun pada usia tujuh tahun,” katanya yang menetap di Alam Budiman, Shah Alam, Selangor.

Suriyanita berkata, Luth Irfan lebih gemar menghasilkan karakter kartun dalam permainan video Five Night at Freddy’s.

Katanya, setiap karakterkartun dihasilkan Luth Irfan dilengkapi kerangka di bahagian dalam yang dihasilkan menggunakan dawai.

“Saya kagum melihat kebolehan Luth Irfan kerana di sebalik kekurangan yang ada pada dirinya, ada kelebihan yang Allah SWT anugerahkan kepadanya.

WALAUPUN menghidap disleksia, Luth Irfan memiliki bakat seni yang tinggi.
WALAUPUN menghidap disleksia, Luth Irfan memiliki bakat seni yang tinggi.

SURIYANITA bersama anak dan suaminya, Irwan Affendy.
SURIYANITA bersama anak dan suaminya, Irwan Affendy.

“Luth Irfan sangat tekun setiap kali menghasilkan karakter kartun dan dia dengan tanah liat umpama rakan karib,” katanya sambil menambah bakat kanak-kanak itu turut disokong suaminya, Irwan Affendy Th’ng, 38.

Menurutnya, jari Luth Irfan sentiasa menggentel tanah liat dan membentuk sesuatu sama ada karakter kartun ataupun objek secara spontan walaupun ketika bersantai.

“Setiap hari Luth Irfan akan bermain dengan tanah liat. Dia turut memiliki kelengkapan seperti dawai dan alat pemotong khas untuk menghasilkan sesuatu karakter,” katanya.

PELBAGAI karakter kartun daripada tanah liat yang dihasilkan.
PELBAGAI karakter kartun daripada tanah liat yang dihasilkan.

Menurut Suriyanita, perjalanan dari rumah ke sekolah mengambil masa satu jam dan lazimnya Luth Irfan akan memanfaatkan masa itu dengan melukis karakter kartun sebelum menghasilkannya.

“Pulang dari sekolah, Luth Irfan akan memperuntukkan masa dua jam untuk bermain tanah liat sebelum mengulang kaji pelajaran.

“Saya tetap menitikberatkan akademik kerana tidak mahu Luth Irfan ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Menurut Suriyanita, Luth Irfan juga menunjukkan minat mendalam dalam mempelajari animasi dan dia akan mendedahkannya kepada bidang berkenaan apabila anaknya itu sudah bersedia.

DIA melukis karakter kartun sebelum menghasilkannya.
DIA melukis karakter kartun sebelum menghasilkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 6:10 AM