KEADAAN rumah kayu usang didiami ibu tunggal, Tuan Idah bersama anaknya.
KEADAAN rumah kayu usang didiami ibu tunggal, Tuan Idah bersama anaknya.
Ramli Ibrahim


“SETIAP kali hujan, kami dua beranak terpaksa tidur dalam keadaan basah,” kata ibu tunggal, Tuan Idah Huzaimah Tuan Abdullah, 39, yang terpaksa tinggal di rumah beratap bocor sejak lima tahun lalu.

Tuan Idah Huzaimah bersama anak perempuannya, Nik Nurfatin Atirah Mohd Fairus Nasri, 12, tinggal di rumah kayu uzur peninggalan arwah datuk saudaranya di Rancangan Pemulihan Tanah KESEDAR Limau Kasturi, dekat sini, yang berusia lebih 40 tahun.

Lebih menyedihkan apabila hujan lebat, keseluruhan ruang dalam rumah dipenuhi air.

Selain atap rumah bocor, dinding dan lantai papan juga sudah reput.

Katanya, rumah itu diberi kepadanya berikutan arwah datuk saudaranya menjaganya sejak kecil, namun keadaan kediaman berkenaan semakin uzur.

TUAN Idah  menunjukkan keadaan  lantai  yang semakin reput.
TUAN Idah menunjukkan keadaan lantai yang semakin reput.

“Saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan, hanya bergantung kepada pendapatan menjaja kuih yang dibuat sendiri setiap pagi sekitar RM20 hingga RM30 sehari.

“Pendapatan itu juga sekadar mampu untuk perbelanjaan harian saya dan persekolahan Nik Nurfatin Atirah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, selepas datuk saudaranya meninggal dunia 12 tahun lalu, sehingga sekarang dia tidak pernah menerima sebarang bantuan untuk membaiki rumah itu walaupun sudah banyak melakukan permohonan.

“Lebih menyedihkan tidak lama lagi musim tengkujuh, sudah tentu keadaan itu lebih serius kerana hujan berpanjangan dan di mana lagi untuk kami mohon bantuan.

“Sudah banyak usaha kami lakukan termasuk menemui pihak pengurusan KESEDAR serta agensi lain yang berkaitan bagi mendapat bantuan yang sepatutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 6:05 AM