NICOL menunjukkan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan diterimanya pada pada Upacara Konvokesyen Komemoratif Sempena Ulang Tahun Ke-50 USM, hari ini. FOTO Danial Saad.
NICOL menunjukkan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan diterimanya pada pada Upacara Konvokesyen Komemoratif Sempena Ulang Tahun Ke-50 USM, hari ini. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli


RATU skuasy dunia, Datuk Nicol Ann David berhasrat mahu tinggal lebih lama di Pulau Pinang serta memberi inspirasi kepada atlet tempatan.

Juara dunia sebanyak lapan kali itu berkata, hasrat berkenaan antara perancangan selepas persaraannya dalam arena skuasy.

Nicol berkata, selain itu dia mahu giat dalam program motivasi bersama atlet tempatan bagi memajukan sukan diceburi mereka.

“Menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya berharap dapat turut serta dengan atlet tempatan serta terbabit dalam melihat potensi mereka,” katanya.

Nicol ditemui di Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena ulang tahun ke-50 Universiti Sains Malaysia (USM) berikutan menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan.

Nicol berkata, beliau terharu menerima anugerah itu yang diberi berikutan sumbangannya dalam bidang sukan negara.

“Ia adalah pengiktirafan bermakna kepada saya dan dikongsi bersama ibu bapa yang turut hadir pada hari ini.

“Sudah tentu ia menjadi detik istimewa kepada saya dan keluarga,” katanya.

Upacara itu diperkenankan Canselor USM, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Hadir sama, Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik serta Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Turut berlangsung ialah Upacara Konvokesyen ke-57 USM yang bermula hari ini hingga 29 September.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:44 PM