OPA dilakukan bergantung keperluan dan kesesuaian. FOTO Ihsan MET Malaysia
OPA dilakukan bergantung keperluan dan kesesuaian. FOTO Ihsan MET Malaysia
Faliq Lajim


TIADA keperluan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) ketika ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanannya, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya diberi taklimat mengenai cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini,

Menurutnya, menerusi taklimat itu MET Malaysia memaklumkan pergerakan angin bermula malam ini dalam fasa peralihan monsun timur laut.

“Dijangka angin menghala dari timur laut yang akan membawa jerebu rentas sempadan luar dari kawasan Malaysia disusuli hujan.

“Jadi buat masa ini tiada keperluan untuk membuat OPA namun ia bergantung keperluan dan kesesuaian.

“Jika ada keperluan untuk melakukan OPA, ia mungkin disasarkan di Melaka dan Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MET Malaysia, Jailan Simon berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula esok sehingga awal November 2019.

“Ketika fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat terutama pada petang dan malam.

“Ia akan berlaku di kebanyakan kawasan pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur tidak kukuh. Sehubungan itu, cuaca berjerebu yang melanda rantau negara dijangka bertambah baik,” katanya.

Dalam pada itu, Jailan berkata, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca dikeluarkan MET Malaysia melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 2:50 PM