OPERASI pembenihan awan. FOTO arkib NSTP
OPERASI pembenihan awan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Situasi negara kini yang panas dan kering dianggap kurang sesuai untuk melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA).

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jailan Simon, berkata pihaknya ada menerima permohonan dari negeri tertentu namun ia tidak boleh dilaksanakan.

"Memang terdapat permohonan dari negeri tertentu termasuk Melaka untuk MET Malaysia melaksanakan OPA. Bagaimanapun pelaksanaan OPA ini tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera.

"Antaranya kelembapan udara yang tinggi, keadaan awan, kesesuaian angin dan kestabilan atmosfera.

"Ini bagi memastikan kejayaan OPA adalah tinggi. Dalam keadaan panas dan kering, keadaan atmosfera dan awan adalah kurang sesuai untuk melaksanakan OPA," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jailan berkata, OPA sesuai dilaksanakan apabila berlakunya bencana kemarau, jerebu atau pengurangan paras air ke paras kritikal di empangan.

"Bagi menangani masalah jerebu, pembenihan awan boleh dilaksanakan sekiranya paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada kategori sangat tidak sihat (melebihi 201 IPU) selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Bencana Jerebu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan bahang cuaca panas yang dialami ketika ini adalah disebabkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Kebiasaannya, dalam tempoh ini taburan hujan memang agak berkurangan di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung, pedalaman Pahang dan Kelantan sekali gus menyebabkan cuaca menjadi panas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 4:31 PM