SEMBURAN larutan garam dari pesawat Hercules C-130 semasa Operasi Pembenihan Awan di beberapa kawasan di Sarawak. FOTO L. Manimaran
SEMBURAN larutan garam dari pesawat Hercules C-130 semasa Operasi Pembenihan Awan di beberapa kawasan di Sarawak. FOTO L. Manimaran
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KOS dianggarkan berjumlah RM80,000 perlu dikeluarkan kerajaan untuk setiap kali Operasi Pembenihan Awan (OPA) dijalankan bagi mengatasi jerebu.

Sumber berkata, kos berkenaan hanya untuk satu penerbangan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C-130.

Katanya, semua kos untuk operasi ditanggung sepenuhnya oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), namun koordinasi dilakukan bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan TUDM.

“Kos berkenaan hanya anggaran untuk setiap kali penerbangan bagi operasi pembenihan awan. Setakat ini, empat operasi pembenihan sudah dijalankan bagi mengurangkan jerebu.

“Operasi perlu dilakukan dengan efisyen khususnya menentukan jenis awan dan kelembapan udara dan angin yang sesuai agar kuantiti hujan dapat dihasilkan dengan berkesan,” katanya kepada Harian Metro.

Sehingga hari ini, sebanyak lima OPA sudah dilaksanakan di Semenanjung dan Sarawak untuk mengurangkan kesan jerebu teruk yang melanda negara sejak minggu lalu.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon ketika dihubungi memaklumkan, jerebu dijangka berkurangan menjelang awal minggu depan selepas arah angin barat daya bertukar ke timur.

Semalam, indeks pencemaran udara (IPU) di Sri Aman, Sarawak merekodkan bacaan bahaya disebabkan kebakaran hutan di daerah itu sejak beberapa hari lalu selain asap rentas sempadan dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 3:00 PM