Penduduk menerima bekalan air bersih dari lori tangki berikutan beberapa kawasan di Melaka terjejas bekalan air. FOTO Rasul Azli Samad
Penduduk menerima bekalan air bersih dari lori tangki berikutan beberapa kawasan di Melaka terjejas bekalan air. FOTO Rasul Azli Samad
BERNAMA

KETUA Menteri Melaka Adly Zahari meminta rakyat negeri itu melapor terus kawasan yang terjejas bekalan air kepada beliau melalui laman Facebook rasminya.

Adly berkata, beliau serta pegawai terbabit akan memantau aduan bekalan air yang dibuat dan segala aduan disalurkan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk tindakan segera seperti menghantar lori tangki.

“Bagi mereka yang mengalami masalah terputus bekalan air, sila komen lokasi anda serta jumlah hari bekalan terputus atau jumlah hari lori tangki air tidak sampai ke kawasan anda untuk dipanjangkan ke pihak SAMB.

“Saya sudah mengarahkan pegawai saya supaya memantau setiap aduan dan melaporkan kawasan yang terjejas serta jadual bekalan lori tangki air 2 kali sehari (10 pagi dan 6 petang) di ‘page’ saya, ‘page’ SAMB serta ‘page’ Kerajaan Negeri Melaka,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya malam ini.

Sabtu lalu, Adly dilaporkan sebagai berkata, penggunaan air di negeri itu adalah sekitar 600 juta sehari namun disebabkan paras air Sungai Melaka yang rendah dan cuaca panas serta tiada hujan di negeri itu, hanya 550 juta liter air dapat dibekalkan.

Adly berkata, beliau difahamkan pelaksanaan Solat Sunat Istisqa’ atau mohon hujan bagi masjid di negeri itu akan diadakan esok selepas Solat Zohor di dewan solat utama Masjid Selat Melaka.

“Saya harap kita semua dapat menjimatkan penggunaan air dan berdoa supaya Allah SWT menurunkan hujan ke bumi Melaka dan memberi kesejahteraan dan rahmatNya ke atas negeri dan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 10:45 PM