JAMILAH (kanan) hanya mampu melihat suaminya yang juga penghidap angin ahmar menangis kerana tidak dapat menjalani rutin harian sempurna berikutan hampir empat hari terputus bekalan air. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
JAMILAH (kanan) hanya mampu melihat suaminya yang juga penghidap angin ahmar menangis kerana tidak dapat menjalani rutin harian sempurna berikutan hampir empat hari terputus bekalan air. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
Nur Saliawati Salberi


“SAYA dan suami sudah tua mahu bergerak pun terbatas, ini pula mahu mengangkut air dari lori.

“Saya sudah buntu memikirkan masalah ini. Nak beli air di kedai memerlukan duit, kami bukannya berkemampuan,” kata Jamilah Mat Jali, 61, penduduk Lorong Jantan Jusoh, Solok Pantai Rombang, Pantai Puteri, Melaka, yang mendakwa terputus bekalan air sejak empat hari lalu.

Difahamkan, masalah bekalan air terputus ini ekoran paras empangan di negeri ini semakin merosot.

Tinjauan Harian Metro di kampung berkenaan mendapati, sebilangan penduduk kecewa apabila mereka yang sudah menyediakan tong, besen dan baldi sejak awal pagi tadi tetapi masih tidak mendapat bekalan air sehingga petang ini.

Warga emas berkenaan yang juga menghidap angin ahmar, kencing manis, darah tinggi serta jantung mendakwa dia dan suaminya, Ali Osman, 67, yang menghidap strok bukan sahaja tidak dapat mandi malah terpaksa membeli makanan di gerai.

Dakwanya, sebelum bekalan tiba-tiba terputus, tekanan air di kawasan rumahnya rendah sejak tiga minggu lalu.

“Sudah pasti apabila bekalan terputus, rutin harian seperti mandi, berwuduk juga sukar.

“Difahamkan, aduan sudah dibuat dan pihak berkenaan akan menghantar bekalan pagi tadi namun sehingga petang ini (5 petang), masih belum dapat dan lori hanya sampai di beberapa lokasi sahaja,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Radiah Abdullah, 36, ibu kepada empat anak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun berkata, sepatutnya pihak terbabit mengeluarkan notis lebih awal memaklumkan berlakunya gangguan bekalan air.

Katanya, dia kini menghadapi kesukaran, khususnya dalam menguruskan anak bongsunya selain terpaksa mengambil air di rumah kakaknya yang terletak di kampung bersebelahan untuk membancuh susu bayi.

“Bukan sahaja bekalan tisu basah untuk membersihkan dia, malah air untuk membancuh susu terpaksa meminta dari rumah kakak.

“Kami orang dewasa mungkin faham tetapi anak-anak kecil tidak mengerti dan saya amat berharap ada penyelesaian segera dari pihak kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, pihaknya menerima aduan di Kampung Bukit Darat sudah mengalami masalah bekalan air sejak dua bulan lalu sebelum beliau sendiri merujuk perkara itu ke Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Setiap lori hanya memuatkan 1,500 gelen air dan sekiranya hanya sebuah lori dihantar ke sini, ia tidak mampu menampung kira-kira 800 penduduk di lokasi berkenaan.

“Saya berharap pihak sepatutnya dapat menyalurkan bekalan air secukupnya kerana penduduk terutamanya pengusaha makanan turut terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 7:18 PM