KEBAKARAN membabitkan dau arumah di Kampung Melayu Majideem Johor Bahru. (Gambar kecil) Rohani. FOTO IHSAN JBPM
KEBAKARAN membabitkan dau arumah di Kampung Melayu Majideem Johor Bahru. (Gambar kecil) Rohani. FOTO IHSAN JBPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


“SYUKUR Alhamdulillah walaupun dalam keadaan kaki mak yang tempang, dia berusaha mendukung cucunya menyelamatkan diri daripada kebakaran rumah pagi tadi,” kata Siti Aishah Ali, 34.

Menurut wanita itu, ibunya, Rohani Alwee, 61, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) berada di rumahnya di Jalan Budiman, Kampung Melayu Majideem Johor Bahru, bersama anaknya, Nur Alena Inara Mohd Ghadafie, 15 bulan, yang dijaganya ketika Siti Aishah keluar bekerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Rohani melihat asap tebal keluar dari arah dapur rumahnya sebelum membuka pintu untuk memastikan apa yang sedang berlaku.

Menurut Siti Aishah, ibunya kemudian terkejut melihat rumah jiran di hadapan rumahnya hangus dijilat api manakala bahagian hadapan rumahnya mula terbakar.

“Mak terus mendapatkan anak saya dan berlari keluar daripada rumah. Saya yang ketika itu berada di Larkin kerana bekerja sambilan sebagai jurujual alat penapis air dan udara kemudian mendapat panggilan telefon daripada jiran menyatakan kebakaran dua rumah termasuk rumah mak.

“Ketika itu, jiran sudah menghubungi bomba dan tidak lama kemudian pasukan bomba tiba dan terus memadamkan kebakaran,” katanya.

Siti Aishah berkata, ini kejadian kebakaran pertama menimpa keluarganya sejak ibunya tinggal di rumah itu lebih 30 tahun lalu.

“Mak tinggal dengan adik, Mohamad Noh Ali, 26, yang ketika kejadian keluar bekerja. Saya tinggal di Permas Jaya, namun menghantar anak bongsu ke rumah mak untuk dijaga sementara saya bekerja.

“Dua lagi anak saya yang bersekolah turut ke rumah mak apabila tamat sesi persekolahan menyebabkan banyak barangan sekolah anak saya berada di rumah mak dan musnah dalam kejadian itu,” katanya.

Menurut Siti Aishah, dia sempat bertanya kepada jirannya iaitu penghuni rumah yang dipercayai lokasi awal kebakaran sebelum merebak.

“Masa saya tanya dia (jiran), dia cuma kata kebakaran bermula dari bilik di rumahnya, tetapi dia tidak pasti apa yang menyebabkan kebakaran,” katanya yang kini membawa ibu dan adiknya tinggal di rumahnya.

Sementara itu, Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 pagi.

“Seramai 10 anggota dengan dua jentera bergegas ke tempat kejadian. Kita turut mendapatkan bantuan 11 anggota dan sebuah jentera dari BBP Johor Bahru serta van EMRS.

“Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan diselamatkan orang awam sebelum tiba di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, dua rumah separuh kekal musnah dalam kejadian itu membabitkan kemusnahan sebanyak 85 peratus, manakala sebuah lagi musnah 75 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya yang kemudian menamatkan operasi jam 11.07 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:42 PM