ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di Padang Bongor, Wakaf Mek Zainab, semalam.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di Padang Bongor, Wakaf Mek Zainab, semalam.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: “Mak cik dengar letupan sebelum api marak, makcik jerit kepada anak serta cucu supaya menyelamatkan diri.

“Empat cucu terus menyelamatkan mak cik menggunakan kerusi roda memandangkan makcik tidak mampu berjalan akibat masalah lutut,” kata Mek Wok Che Ibrahim, 73, mangsa kebakaran di Padang Bongor, Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.

Kebakaran jam 2.45 pagi itu menyebabkan 15 rumah kayu dihuni lebih 50 mangsa musnah.

Mek Wok berkata, mereka tidak sempat menyelamatkan barangan berharga dan ketika ini, mereka menumpang sementara di rumah jiran.

“Kami bersyukur kerana selamat walaupun kehilangan rumah yang dihuni lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Ibu tunggal, Siti Fatimah Mamat, 61, berkata, dia dikejutkan anak sulungnya, Zuriana Osman, 45, selepas menyedari rumah terbakar.

“Akibat kebakaran, kami tinggal sehelai sepinggang dan kerugian kira-kira RM50,000.

“Buat sementara, kami menumpang di rumah saudara yang tinggal berdekatan. Kami harap ada pihak yang sudi membantu membina semula kediaman yang musnah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, kebakaran menyebabkan 15 rumah musnah di mana 11 berpenghuni dan empat kosong.

“Kami menerima panggilan kebakaran jam 2.52 pagi dan 26 anggota dikerah ke lokasi.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca kebakaran, jumlah kerugian lebih RM70,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 5:38 AM