TERTUDUH yang dibawa ke mahkamah hari ini. FOTO SaliaNur Saliawati Salberi.
TERTUDUH yang dibawa ke mahkamah hari ini. FOTO SaliaNur Saliawati Salberi.
Nur Saliawati Salberi


MEKANIK mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya.

Tertuduh yang berusia 34 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh buah dada dan kemaluan anak tirinya yang ketika kejadian berumur 12 tahun tiga bulan serta 13 tahun lapan bulan.

Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bukit Serindit, antara Mac 2018 hingga 31 Ogos 2019.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan jaminan dengan alasan perlu menanggung ibu bapa yang sudah uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan 14 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 2:57 PM