MAYAT mangsa. FOTO Ihsan APM
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan APM
Garret Dawum


SEORANG daripada tiga pemancing lelaki yang hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam di Pulau Sari di sini, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Yee Chee Tiong, 30, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8.40 pagi.

Pegawai Pertahanan Awam Lawas, Kapten (PA) Sulaiman Salama berkata, mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis.

“Dua lagi mangsa yang hilang dikenali sebagai Faruk Arina Ahmad Sabri, 29, dan Mohd Amirul Bakar, 26, masih belum dijumpai.

“Setakat ini, penduduk Kampung Punang yang keluar mencari kesemua mangsa hanya menjumpai dua tong ikan dipercayai milik mangsa di perairan Pulau Sari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Sulaiman, kesemua mangsa keluar memancing pada 5 pagi semalam dan panggilan terakhir diterima daripada mangsa ialah pada jam 3 petang.

“Namun sehingga 4 petang semalam, mereka gagal dihubungi. Laporan kehilangan mangsa diterima polis, pada 7.54 malam,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari dua lagi mangsa masih dijalankan dengan kekuatan 40 anggota pelbagai agensi dengan dibantu empat penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 12:08 PM