Shahrinnahar Latib


PEMBANTU kesihatan dari Rompin kerugian RM29,421 apabila diperdaya individu yang memintanya menukar nombor telefon kerana didakwa terbabit dengan jenayah.

Wanita berusia 29 tahun yang bekerja di Hospital Kuala Rompin itu, menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa terdapat tunggakan pinjaman yang dibuat mangsa dan namanya sudah disenarai hitam.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar pegawai polis.

“Suspek turut memberitahu mangsa juga terbabit dalam beberapa kes jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa ke bank berdekatan untuk menukar nombor telefon yang didaftarkan dalam akaun miliknya bertujuan untuk permohonan nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

“Mangsa kemudian menukar nombor telefon yang diberikan suspek. Mangsa yang tidak sedap hati kemudian membuat semakan akaunnya dan mendapati baki yang tinggal hanya RM79,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin semalam selepas menyedari ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 11:34 AM