HAMIDAH Ramli (kanan) beramah mesra dan memberi semangat terakhir sebelum pelajar memasuki dewan di Sekolah Kebangsaan Mekasar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HAMIDAH Ramli (kanan) beramah mesra dan memberi semangat terakhir sebelum pelajar memasuki dewan di Sekolah Kebangsaan Mekasar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


DEMI meniupkan semangat buat murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), hari ini, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Mekasar, di Pasir Mas, menjanjikan tiket menaiki kapal terbang percuma ke Kuala Lumpur bagi yang mendapat ‘6A’ dalam peperiksaan itu yang bermula hari ini.

Janji itu dibuat guru sejak beberapa bulan lalu sebagai pembakar semangat kepada 84 calon UPSR di sekolah itu untuk lebih berusaha memperoleh keputusan yang cemerlang.

Guru Besarnya, Hamidah Ramli, berkata kempen “Bulih ‘6A’ Kita Naik Kapal Terbang Free Ke Kuala Lumpur” nyata memberi impak positif apabila dua pelajar di sekolahnya mendapat keputusan 6A dalam Pra UPSR yang dijalankan sebelum ini.

Katanya, tawaran seperti itu mungkin nampak biasa namun ia sangat berharga kepada murid terutama di luar bandar yang tidak pernah mempunyai pengalaman menaiki kapal terbang.

“Tiket kapal terbang akan dibeli sendiri oleh saya dan idea ini juga atas kemahuan saya sebagai guru besar yang mahu melihat anak didik di sekolah ini mendapat keputusan yang terbaik sekali gus membanggakan ibu bapa serta seluruh warga sekolah.

“Guru di sekolah ini berusaha dengan pelbagai cara untuk menjadikan murid terutama calon UPSR supaya lebih bersemangat untuk menimba ilmu seterusnya memperoleh keputusan cemerlang.

“Selain aktif mengadakan aktiviti belajar secara berkumpulan dan menjalankan pelbagai program motivasi di dalam dan luar sekolah, kita juga turut membuat solat hajat selama 100 hari sebelum UPSR bermula,” katanya yang bakal bersara tidak lama lagi.

Hamidah berkata selain murid, guru juga memerlukan motivasi yang tinggi sebagai pendidik untuk memastikan mereka sentiasa bersemangat memberi ilmu kepada pelajar

“Sebagai pendidik kami juga perlu tahu bagaimana cara bermain dengan emosi murid, malah sentiasa peka bagi memastikan anak didik tidak mudah berputus asa.

“Saya berharap segala penat lelah dan pengorbanan barisan guru di SK Mekasar mahupun sekolah lain akan terbalas dengan melihat kecemerlangan pelajar dalam UPSR ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:46 AM