MAYAT Lim ditemui
MAYAT Lim ditemui
Siraj Mohd Zaini


DUA lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai terbabit kes pembunuhan suami isteri yang mayatnya disumbat di dalam bagasi sebelum dicampak ke dalam longkang di dua lokasi dekat Shah Alam.

Mangsa, Tan Siew Mee, 52 ; suaminya Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79.

Mayat Tan ditemui pada Isnin lalu di dalam longkang Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, manakala mayat suaminya ditemui di longkang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, , 5 petang tadi.

Difahamkan, jarak di antara kedua-dua bagasi berisi mangsa ditemukan adalah kira-kira tiga kilometer.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua suspek ditahan di sekitar Kota Kemuning, Shah Alam, hari ini, sebelum dibawa menunjukkan lokasi mayat Lim yang dicampak mereka.

Menurutnya, soal siasat juga mendapati suspek membuang senjata yang digunakan untuk membunuh pasangan itu di lokasi berasingan.

“Ketika ini, pihak polis sedang giat menjalankan operasi mengesan senjata yang dibuang oleh suspek,” katanya kepada Harian Metro.

Baharudin berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk perintah reman esok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Harian Metro, hari ini, melaporkan bedah siasat Tan menyatakan mangsa ditikam 13 kali di dada dan perut sebelum disumbat ke dalam beg.

Sementara itu, sumber berkata kedua-dua suspek adalah penyewa rumah suami isteri itu.

Katanya, pasangan itu sudah berkali-kali meminta duit sewa daripada suspek namun mereka enggan membayarnya.

“Kedua-dua suspek dan suami isteri tinggal bersama di dalam kondominium di Subang Jaya.

“’Mereka (si mati) hidup dalam keadaan susah sehingga menyebabkan mereka menyewakan rumah itu kepada warga asing,” katanya.

Berita berkaitan

Tikam 13 kali, kelar dan buang [METROTV]

Sumbat mayat wanita dalam beg

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 9:49 PM