Raja Noraina Raja Rahim


TAKUT ditahan kerana dikatakan terbabit jenayah pengubahan wang haram, suri rumah kerugian RM290,000 akibat terpedaya dengan penipuan sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, sejurus mendengar tindakan itu wanita berusia 54 tahun terbabit terus mengikut semua arahan sindiket yang kononnya boleh menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Pada 16 Ogos lalu, mangsa menerima panggilan daripada lelaki dari pejabat pos di Kuantan memberitahu mangsa ada mengepos kad kredit dan MyKad ke Sarawak namun mangsa menafikan.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada lelaki yang mengaku anggota polis dan memberitahu mangsa terbabit jenayah pengubahan wang haram bersama Danny Wong. Mangsa beritahu tidak mengenali lelaki itu.

“Suspek meminta mangsa memasukkan RM120,000 dan RM150,000 ke dua akaun yang diberikan untuk tujuan semakan. “Oleh sebab takut, mangsa menuruti arahan dan memasukkan wang berkenaan pada 19 Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aibee berkata, mangsa sekali lagi diminta menyerahkan RM20,000 ke akaun lain di sebuah bank di Rahang pada 25 Ogos lalu.

Katanya, mangsa yang mengesyaki ditipu suspek membuat laporan di Balai Polis Senawang untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 2:33 PM