SYED Hussein (tengah) bersama pelajar pertandingan Bahas Ala Parlimen di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO Syakirah Azhar
SYED Hussein (tengah) bersama pelajar pertandingan Bahas Ala Parlimen di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO Syakirah Azhar
Hamizah Badiran

DALAM usaha melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berketrampilan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala MAIWP Peringkat Wilayah Persekutuan 2019.

Pertandingan bahas yang julung kali diadakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Kuala Lumpur itu mengangkat konsep atau gagasan Rahmatan Lil Alamin sebagai tema perbahasan.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, penyertaan terbuka kepada pelajar sekolah menengah di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan.

“Kami percaya, pertandingan ini akan menjadi medium terbaik untuk peserta berbahas mengenai nilai sejagat terutamaa kasih sayang dan saling hormat menghormati sesama insan secara sihat.

“Menerusinya, kami yakin ia mampu mengasah bakat pelajar dalam bidang pengucapan awam dan ini antara wadah untuk meningkatkan daya fikir intelektual serta pemikiran kritis mereka.

“Pelajar bukan Islam juga digalak menyertai pertandingan ini supaya sama-sama membahaskan nilai sejagat kerana kita ingin tekankan nilai gagasan ini kepada pelajar berbilang kaum dan agama,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran pertandingan itu, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah Pendidikan JPWP Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar.

Abdul Aziz berkata, pertandingan seumpama itu selari dengan agenda MAIWP dalam memperkasa sosio ekonomi ummah bukan sahaja melalui aktiviti pengurusan zakat bahkan menerusi pelbagai aktiviti pendidikan.

“MAIWP memperuntukkan hampir 20 peratus daripada jumlah zakat diterima bagi merangka pelbagai program pendidikan dan tahun lalu kami belanjakan RM66.7 juta untuk tujuan itu,” katanya.

Sementara itu, 24 sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bersetuju menyertai pertandingan itu dengan anggaran kira-kira 96 peserta bakal berentap merebut kejuaraan.

Pertandingan peringkat saringan bermula pada 10 dan 11 September ini sebelum pasukan terbaik yang terpilih ke peringkat akhir pada 9 dan 10 Oktober 2019.

Juara bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala pusingan dan sijil penyertaan manakala naib juara (RM3,000) dan tempat ketiga (RM1,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:02 AM