GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Suraya Roslan


PRIHATIN dengan situasi semasa akibat penularan wabak Covid-19, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan peruntukan zakat sebanyak RM12.1 juta untuk disalurkan kepada asnaf dan menampung keperluan perubatan.

Pengerusinya, Datuk Sri Syed Hussien AlHabshee berkata, MAIWP meluluskan bantuan tambahan zakat khas kepada 24,196 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya selaras seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri supaya kebajikan asnaf sentiasa dipelihara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Setiap asnaf menerima RM500 dan penyaluran bantuan ini membabitkan perbelanjaan dana zakat keseluruhan sebanyak RM12.1 juta yang akan disalurkan awal April.

“MAIWP sebelum ini juga mempercepatkan penyaluran Bantuan Zakat Kewangan Bulanan bagi Mac pada 19 hari bulan kepada bilangan penerima yang sama dengan perbelanjaan sebanyak RM9.67 juta. Bantuan bulanan kebiasaannya disalurkan pada setiap 25 hari bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi menampung keperluan peralatan kesihatan dan perubatan di hospital akibat Covid-19, MAIWP meluluskan peruntukan berjumlah RM3.27 juta yang akan disalurkan kepada tujuh hospital di Wilayah Persekutuan.

“Bantuan diberikan berbentuk peralatan pernafasan seperti BIPAP Machine (ICU) bernilai RM80,000 setiap satu, ventilator di Unit Rawatan Rapi (ICU) bernilai RM150,000/unit, home ventilator bernilai RM90,000/unit dan peralatan lain bernilai antara RM5,000 hingga RM20,000 setiap satu.

“MAIWP dari semasa ke semasa akan sentiasa melihat keperluan yang timbul bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh COVID-19 ini selari dengan misi #musaadahCOVID19 oleh Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Menurutnya, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan terutama ketika berdepan situasi Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 11:15 AM