Siti A’isyah Sukaimi


“KITA (kerajaan) ikhlas ingin memastikan golongan mat motor mendapat peluang pekerjaan,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq memberi reaksi itu menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Instagram beliau, hari ini.

Beliau berkata, selain membantu penunggang motosikal, beliau juga yakin usaha itu dapat membantu peniaga, terutama peniaga makanan yang boleh memanfaatkan perkhidmatan itu bagi tujuan penghantaran makanan.

“Pada masa sama, kita ingin membantu mak cik dan pak cik yang mengendalikan warung sedia ada untuk menjual barang mereka melalui perkhidmatan Go-Jek. Ingin membantu usahawan muda.

“Dengan wujudnya Go-Jek ini dapat menjual barangan mereka juga dengan menggunakan perkhidmatan Go-Jek,” katanya menerusi video berkenaan, hari ini.

Hari ini, Kabinet sebulat suara meluluskan cadangan Kementerian Belia dan Sukan untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek dan Dego Ride di negara ini.

GO-Jek di Indonesia. FOTO Hiasan
GO-Jek di Indonesia. FOTO Hiasan

Syed Saddiq berkata, usaha berkenaan juga bagi membantu rakyat yang menggunakan pengangkutan awam, namun dengan kos rendah selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Turut Ingin membantu anak muda atau rakyat secara keseluruhannya mengambil pengangkutan awam, tetapi perlu bantuan dari rumah ke Transit Aliran Ringan (LRT) atau Transit Aliran Massa (MRT) dengan kos rendah dan tidak perlu menghadapi kesesakan lalu lintas yang begitu teruk.

“Insya-Allah kita akan terus berusaha keras untuk memastikan anak muda akan terus mendapat pembelaan yang terbaik. Ini adalah masa depan Malaysia kita semua,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima kertas cadangan daripada pelabur swasta dalam perkhidmatan pengangkutan, termasuk cadangan daripada perkhidmatan teksi motosikal, Go-Jek.

Beliau dipetik berkata, kementeriannya akan meneliti perkara itu dari setiap sudut termasuk implikasi perkhidmatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 7:14 PM