Oleh Zanariah Abd Mutalib


Petaling Jaya: Kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia, Media Prima Berhad (Media Prima) melalui anak syarikatnya, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) sekali lagi mengungguli Anugerah Putra Aria Brands 2023 bagi kategori Rangkaian Media.

Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST), kedua-duanya merangkul Anugerah Emas bagi kategori berkenaan.

Hadir bagi menerima anugerah itu di sini, malam ini ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP yang juga Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Eksekutif NST, Sharanjit Singh.

Majlis dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman; Pengerusi Penganjur Anugerah Putra Aria Brand 2023, Datuk Johnny Mun dan Pemangku Presiden Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia

(4As), Ryusuke Oda.

Ini adalah kali kedua BH dan NST memenangi anugerah berkenaan selepas kali pertama diperkenalkan pada 2022.

Ahmad Zaini ketika ditemui selepas majlis itu berkata, kejayaan merangkul anugerah terbabit membuktikan jenama BH dan NST mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan pembaca.

"Kedudukan kita semakin meningkat dan yang penting sekali, ini adalah pilihan pembaca untuk mereka mendapatkan sumber berita dan maklumat, bukannya pilihan juri.

"Ini bermakna, kita media yang dipercayai dan ada kredibiliti. Terima kasih kepada pembaca dan teruskan menyokong kami sama ada media cetak atau digital.

"Kita di NSTP akan terus memberi liputan berita yang sahih untuk disampaikan kepada pembaca," katanya.

AHMAD Zaini (empat, kiri) dan Sharanjit (lima, kiri) serta kakitangan BH dan NST meraikan kejayaan merangkul Anugerah Putra Aria Brands 2023. FOTO Aizuddin Saad.
AHMAD Zaini (empat, kiri) dan Sharanjit (lima, kiri) serta kakitangan BH dan NST meraikan kejayaan merangkul Anugerah Putra Aria Brands 2023. FOTO Aizuddin Saad.

Pada majlis berkenaan, Media Prima Omnia turut menaja satu kategori anugerah iaitu Peranti Komunikasi.

Anugerah Putra Aria Brands diperkenalkan pada 2022 oleh 4As untuk memberikan perkhidmatan yang cekap dan inklusif kepada komitmen pemasaran dengan menonjolkan usaha penjenamaan merentas semua segmen.

Diukur melalui pertumbuhan keutamaan pengguna, ia mengiktiraf kecemerlangan jenama dalam landskap pemasaran dan pengiklanan.

Anugerah itu adalah salah satu daripada dua pengiktirafan yang disahkan Matrade sebagai Rakan Juara Jenamanya dan disokong Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Persatuan Pakar Media (MSA) dan Persatuan Digital Malaysia (MDA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 11:44 PM