Hazira Ahmad Zaidi


MESKIPUN sudah berusia lima tahun, fizikal yang dimiliki Annur Sofia Mohd Ashraf tidak ubah seperti seorang bayi dengan berat badannya hanya 5.9 kilogram (kg).

Siapa menyangka, Annur Sofia yang dilahirkan dalam keadaan normal dan sihat dengan berat 2.6 kg, namun ketika usianya mencecah setahun lebih, kanak-kanak itu mengalami masalah tumbesaran terbantut.

Menurut ibunya, Zailani Mohd Yunus, 40, dia dan suaminya, Mohd Ashrah Idris, 48, menyedari ‘keunikan’ Annur Sofia selepas anaknya tidak membesar seperti adik-beradiknya yang lain serta tubuhnya pula seperti bayi, walaupun usia semakin meningkat.

“Disebabkan masalah itu, Sofia tidak boleh bertutur dan hanya boleh menyebut perkataan ‘ma’ sahaja selain perlu mengengsot untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Dalam masa sama, ketika berusia setahun tujuh bulan, Sofia sudah menjalani pembedahan menggantikan kedua-dua belah manik matanya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) kerana masalah penglihatannya kabur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung But, Ketereh, di Kota Bharu, semalam.

ANNUR Sofia menghadapi masalah tumbesaran terbantut sejak bayi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUR Sofia menghadapi masalah tumbesaran terbantut sejak bayi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu keluarga Annur Sofia menerima kunjungan daripada Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Ketereh, Lina Aina Zakaria yang menziarahi bagi melihat sendiri keadaan anak kecil itu selain turut menyampaikan barangan keperluan harian.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, setiap tiga bulan sekali, dia perlu membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu menghadiri janji temu dengan pakar pediatrik di HRPZ II untuk mengetahui perkembangan tumbesarannya.

“Walaupun Sofia berbeza dengan anak yang lain, namun saya dan suami tidak pernah membezakan dia dengan dua abangnya kerana dia adalah anugerah teristimewa yang dianugerahkan Allah SWT untuk kami jaga.

“Meskipun keadaan Sofia seperti itu, saya dan suami tetap menghantarnya ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kadok ketika dia berusia empat tahun bagi membolehkannya belajar untuk berdikari,” katanya.

Katanya, bagi menampung perbelanjaan keluarga serta keperluan Sofia, dia bekerja di kedai runcit berhampiran dengan upah RM30 sehari sejak awal tahun ini.

“Sebelum ini, suami saya yang bekerja buruh terpaksa berhenti sejak dua tahun lalu berikutan menghidap masalah jantung lemah serta saluran tersumbat sekali gus tidak mampu untuk melakukan kerja berat.

“Bagi meringankan beban yang ditanggung, anak sulung kami (Mohd Aiman, 18) mengambil upah melakukan kerja kampung dengan pendapatan RM40 sehari,” katanya yang tidak mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Zailani berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM400 untuk membeli barang keperluan Sofia, termasuk lampin pakai buang.

Sementara itu, Lina Aina berkata, hatinya tersentuh tatkala melihat keadaan Annur Sofia yang tidak ubah seperti seorang bayi dengan keadaan fizikalnya yang kecil.

“Insya-Allah, saya akan membantu keluarga ini dan berusaha mendapatkan kerusi roda untuk Sofia bagi memudahkan pergerakannya nanti,” katanya.

Orang ramai yang ini menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun bersama Bank Simpanan Nasional (BSN), 03014-41-00008115-4 atas nama Zailani Mohd Yunus atau boleh menghubungi Zailani di talian 013 - 9565351.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 9:42 AM
ANNUR Sofia ditemani Zailani dan Mohd Ashrah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUR Sofia ditemani Zailani dan Mohd Ashrah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar