ENAM penagih dadah ditahan ketika operasi khas AADK Langkawi. FOTO IHSAN AADK
ENAM penagih dadah ditahan ketika operasi khas AADK Langkawi. FOTO IHSAN AADK
Hamzah Osman


AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan enam lelaki termasuk remaja berusia 19 tahun dalam satu operasi di Langkawi, hari ini.

Operasi selama sembilan jam berakhir jam 1 tengah hari disertai 12 anggota melakukan serbuan ke beberapa rumah di tiga kampung di pulau berkenaan.

Ketua Pegawai AADK Langkawi, Mohammad Nurddin Ramli berkata, semua lelaki itu masing-masing ditahan ketika berada di rumah dalam serbuan berasingan sekitar Kampung Ulu Melaka, Kedawang dan Kuah.

“Operasi bermula jam 4 pagi itu berjaya menahan enam lelaki berusia antara 19 hingga 40 tahun.

“Ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Nurddin berkata, semua suspek kemudian dibawa ke pejabat AADK Langkawi untuk tindakan lanjut.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menghubungi AADK Daerah Langkawi di talian 04-9693110,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 9:24 PM