Zuliaty Zulkiffli


"SAYA sanggup tak makan dan simpan duit sekolah yang diberi ayah untuk beli dadah setiap hari.

"Semuanya berpunca akibat kesilapan saya terpengaruh dengan jiran yang juga penagih dadah," kata lelaki berusia 16 tahun selepas ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam operasi di Langkawi, malam tadi.

Dalam operasi itu, 50 individu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di Kuah, Ulu Melaka dan Kedawang, namun hanya 41 individu berusia antara 16 hingga 50-an didapati positif dadah.

Remaja terbabit mengaku terbabit pengambilan dadah sejak tahun lalu apabila jirannya yang berusia 18 tahun menyuruh dia cuba menghisap syabu.

Pelajar Tingkatan Empat itu berkata, dia sudah cuba berulang kali untuk berhenti menghisap dadah, namun gagal kerana najis itu sudah menguasai dirinya.

Dalam pada itu, seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan stok dadah.

Remaja yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan terpengaruh dengan rakan sebaya dan menghisap dadah sejak berusia 13 tahun.

Katanya, ibunya sempat menasihatkan supaya jaga diri dengan baik sepanjang berada di pusat pemulihan.

"Ini kali pertama saya ditangkap menyebabkan ibu susah hati kerana dia masih dalam pantang melahirkan anak keenam," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kedah, Nasru'd-din Abdul Rahman berkata, tangkapan penagih dadah dalam operasi Ops Total Enforcement (Ops TE II) di negeri kini semakin meningkat menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah 219 orang.

Beliau berkata, penambahan itu berikutan serbuan di beberapa daerah iaitu di Langkawi, Felda Lubuk Merbau di Padang Terap, Kuala Kedah, Kubang Pasu dan Kuala Muda.

"Jumlah individu yang ditahan adalah 245 orang namun hanya 219 orang positif yang mana 213 orang adalah lelaki dan enam wanita.

"Ia membabitkan jumlah tangkapan sejak Ops TE II dilakukan bermula 22 Jun lalu hingga jam 12 tengah malam tadi," katanya ketika ditemui hari ini.

Nas'rud-din berkata, paling ramai ditahan adalah mereka yang positif dadah jenis methapetamine iaitu 115 orang manakala opiate seramai 103 orang dan ganja seorang.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Dalam pada itu, 12 orang yang memiliki dan mengedar dadah diserah kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952, Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan Seksyen 39C ADB 1952.

"Seorang daripadanya ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Nas'rud-din berkata, daripada jumlah 21 penagih itu, 21 daripadanya akan dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) iaitu 19 orang di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan dua remaja terbabit di PUSPEN Kulim.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa menaiki feri dari Jeti Langkawi ke Kuala Kedah hari ini.

NASRU’D-DIN (kiri) menyoal remaja berusia 16 dan 17 tahun yang ditahan dalam serbuan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NASRU’D-DIN (kiri) menyoal remaja berusia 16 dan 17 tahun yang ditahan dalam serbuan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 11:14 AM