POLIS menahan lelaki berusia 51 tahun selepas menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang pekerja hotel dalam serbuan di rumahnya di Jalan Bagan Lalang, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO ihsan polis.
POLIS menahan lelaki berusia 51 tahun selepas menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang pekerja hotel dalam serbuan di rumahnya di Jalan Bagan Lalang, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


APLIKASI penjejak telefon dalam telefon pintar mangsa disamun membuatkan seorang lelaki terkantoi apabila dikesan dan ditahan polis dalam serbuan di rumahnya di Jalan Bagan Lalang, Bukit Mertajam, hari ini.

Sebelum itu, lelaki berusia 51 tahun itu menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang lelaki yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Jalan Permatang Batu, Bukit Mertajam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, dalam kejadian 3 pagi itu, suspek yang menunggang motosikal menghampiri mangsa dan memperkenalkan diri sebagai polis.

Menurutnya, mangsa berusia 22 tahun ketika itu sedang menghisap rokok di luar premis sambil memegang beg kecil dan suspek kemudian meminta dia menyerahkan beg berkenaan kononnya untuk diperiksa.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa hanya menurut arahan dan turut menyerahkan telefon pintar iPhone 7 plus kepada suspek selepas diarahkan berbuat demikian.

“Suspek kemudian meminta kad pengenalan untuk diperiksa dan mangsa masuk ke hotel untuk mengambilnya,” katanya.

Mohd Mustafa berkata, ketika mangsa masuk untuk mengambil kad pengenalan, suspek terus memecut motosikal dan melarikan telefon pintar bersama beg kecil mengandungi sebuah lagi telefon bimbit dan alat pengecas mudah alih (power bank).

“Berikutan kejadian itu, manga membuat laporan polis dan dia mendakwa mengalami kerugian mencecah RM2,000.

“Susulan daripada laporan dibuat mangsa, polis berjaya menjejaki dan menahan suspek di rumahnya pada 11 pagi, hari ini berdasarkan daripada maklumat serta aplikasi penjejak telefon pintar pada telefon mangsa,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau masing-masing empat kes jenayah dan satu kes dadah.

Menurutnya, pihaknya turut menemui semua barang milik mangsa yang dicuri sebelum itu selain turut merampas motosikal Yamaha LC 135 biru, topi keledar dan serangkai anak kunci.

“Suspek yang berjaya ditahan kira-kira lapan jam selepas melakukan jenayah itu akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 170KK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:35 PM