GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


LELAKI berusia 46 tahun dari Kota Padawan, Kuching, Sarawak disahkan maut akibat jangkitan rabies, pada Rabu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan mendapati, mangsa mempunyai sejarah digigit anak anjing peliharaannya di bahagian belakang tapak tangan kanan pada 15 Jun lalu ketika beliau menangkap haiwan berkenaan yang merayau di luar kawasan rumahnya.

Beliau berkata, ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam juga mengesahkan lelaki berkenaan dijangkiti virus itu.

“Pada hari sama juga, anak perempuan mangsa yang berusia lapan tahun digigit oleh anjing sama.

“Anak anjing ini diambil daripada seorang rakan mangsa yang tinggal di Kuching pada penghujung Mei lalu dengan status pelalian rabies anjing berkenaan tidak diketahui.

“Pada hari kejadian, kedua-duanya mencuci luka berkenaan selama 15 minit dan beliau membawa anaknya ke Klinik Kesihatan pada 17 Jun lalu dan dirujuk ke Post Bite Clinic (PBC) di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.

Katanya, mangsa turut membawa anaknya ke PBC dan diberi dos pertama vaksin rabies malah, sepanjang mangsa membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan termasuk lawatan susulan ke klinik bagi melengkapkan pemberian vaksin rabies.

Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana kakitangan kesihatan bahawa dia juga digigit oleh anjing itu.

Dr Noor Hisham berkata, pada 29 Julai lalu, mangsa mula mengalami demam, sakit kepala dan rasa lenguh di bahu kanannya dan mendapatkan rawatan di dua Klinik Kesihatan berbeza pada 31 Julai dan 2 Ogos lalu tetapi tidak juga memaklumkan sejarah digigit anjing.

“Pada 3 Ogos beliau mendapatkan rawatan di HUS apabila gejala bertambah teruk dan akhirnya memaklumkan bahawa mempunyai sejarah digigit anjing. Berikutan itu, beliau dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit HUS.

“Keadaannya ketika itu adalah agresif, hydrophobia, aerophobia, demam, sakit kepala dan lemah di bahagian tangan dan bertambah teruk seterusnya disahkan meninggal dunia pada 7 Ogos lalu jam 2.51 pagi.

“Buat masa ini anak perempuannya yang sudah digigit oleh anjing yang sama berada dalam keadaan sihat dan dalam pemantauan pihak kesihatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 20 kes termasuk 19 kematian setakat ini disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017.

“Kes ini adalah kes keempat mangsa gigitan anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan itu tidak diketahui.

“Justeru, orang ramai khususnya di Sarawak diingatkan supaya tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan ia dijangkiti virus itu dan sedang dalam tempoh pengeraman sebelum menunjukkan gejala,” katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan menegaskan selepas mencuci luka gigitan dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit, mangsa gigitan perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 9:48 AM