PETUGAS SAR memeriksa beg tangan dipercayai milik mangsa yang masih hilang. FOTO Ihsan APMM.
PETUGAS SAR memeriksa beg tangan dipercayai milik mangsa yang masih hilang. FOTO Ihsan APMM.
Norasikin Daineh


HANYA beg tangan ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Tanjung Berungus, Pitas.

Beg tangan dipercayai milik mangsa ditemui, hari ini dekat Kampung Sawangan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terbabit SAR itu.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Hassan berkata, sehingga operasi ditangguhkan lewat petang tadi, mangsa dikenali Sumanti Suhaimi, 29, masih gagal dikesan.

“Tiada petunjuk lain melainkan beg tangan dipercayai milik mangsa ditemui di Kampung Sawangan pagi tadi (hari ini) yang dimaklumkan komuniti maritim di situ.

“Operasi mencarinya akan disambung esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan APM, SAR itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, enam bot digunakan petugas SAR untuk pencarian itu dan komuniti maritim di kawasan berdekatan membantu menyalur maklumat berkaitan.

“Kita juga membuka Markas Operasi Hadapan di jeti Kampung Malubang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, angin kencang dan ombak tinggi memaksa pasukan SAR menangguhkan operasi itu dan akan disambung semula esok.

Sumanti dilapor hilang selepas bot dinaiki bersama empat lagi mangsa karam ketika dalam perjalanan pulang dari Kudat ke Kampung Malubang, Pitas pada 12.30 tengah hari semalam.

Berita berkaitan

Identiti mangsa bot karam dikenal pasti

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 9:56 PM